KITA berharap semoga tahun lalu memberi impak besar
dalam kehidupan kita. Impaknya bukansahaja memberi kita kesihatan tubuh badan,
akal yang cerdas dan senentiasa dalam pengawasan daripada Allah s.w.t. tetapi yang penting ialah amalan baik kita semakin meningkat; amalan kehidupan
kita berpaksikan agama, tindak tanduk kita berdasarkan al-Quran, perancangan
kita menurut takwim tepat dan perkara-perkara tersebut membantu kita untuk
berhadapan pada saat-saat getir. Masa kita terlalu singkat dan menjarakkan
kehidupan dunia kita dari semasa ke semasa.
Kita berharap tahun ini
lebih baik daripada tahun lalu. Harapan kita bersebab kerana semakin kita
hampir mendekati hari-hari yang mendatang maka kerinduaan kita berjumpa
Rasulullah s.a.w. semakin membara. Ibarat seorang suami merindui isterinya atau
seorang isteri menanti kepulangan suaminya. Perjalanannya panjang tetapi
masanya dekat. Dekatnya seperti kita berdiri di depan pintu rumah.
Oleh itu, sempena tahun
baru marilah kita mengingati bagaimana Rasululah s.a.w. diperintah oleh Allah
s.w.t. melaksanakan kewajiban-kewajiban syariat Islam, antaranya; mendirikan
salat, mengeluarkan zakat, berpuasa, mengerjakan haji, mengkanunkan syariah,
tilawah Quran, zikrullah, uzlah, kalwat dan seumpamanya.
Melalui pengukuhan iman dan
keyakinan pula dengan penetapan akal dan naluri perasaan diteguhkan dengan
penurunan Al-Quran berperingkat-peringkat dan diperjelaskan oleh Nabi s.a.w.
tentang asbab nuzulnya sesuatu peristiwa dan kaitannya dengan ayat-ayat
tersebut. Pertautkaitan al-Quran dan penjelasan Nabi s.a.w. mengukuhkan
kefahaman keyakinan mereka. Ia menambahkan ketakwaan dan penerimaan Islam yang
jelas, tepat dan benar.
Nabi mengajak manusia
supaya mentauhidkan Allah s.w.t., melaksanakan perintah Allah s.w.t.,
menguatkan jiwa dengan ketakwaan, keikhlasan, ketekunan supaya sifat keduniaan
tidak sebati berpadu dengan darah, jiwa dan akal manusia. Kesannya amat dahsyat
jika ianya terjadi. Kesesatan akan dijadikan suatu yang benar dan kebenaran
pula akan diletakkan sebagai suatu yang dangkal. Kesesatan mudah dilakukan
tetapi kebenaran berat ditegakkan. Maka berlakulah pertembungan di antara
kesesatan dan kebenaran. Antara yang hak dan batil.
Para sahabat Nabi s.a.w.
tidak pernah merancang, berpakat, merencana, berhimpun untuk tujuan
menghiburkan hati mereka dan untuk kepentingan perut-perut mereka. Tetapi
mereka berhimpun untuk memikirkan agama Islam, umat Islam dan kaum-kaum yang
masih dalam kesesatan. Mereka yakin dengan agama Islam sebagaimana mereka yakin
dengan kehidupan di dunia ini. Keyakin mereka bulat, seratus peratus.
Masa mereka dimanfaatkan
dengan dakwah. Kehidupan mereka dipenuhi dengan keyakinan yang bersinar
cemerlang. Mereka memiliki keazaman kukuh untuk mencapai sesuatu impian,
cita-cita mereka melangit yang sukar dicapai oleh manusia biasa tetapi mudah
bagi mereka mencapainya, pesanan Rasulullah s.a.w. suatu ikrar yang mesti
dilaksanakan sama ada semasa bersama hayat Baginda s.a.w atau selepas
ketiadaannya, mereka berpegang teguh dengan agama Islam sebagaimana mereka
menggenggam bara api. Mereka tidak pernah takut dengan ugutan, provokasi,
ucapan ancaman dan tindakan golongan sesat. Perkara ini menjadikan mereka sukar dikalahkan oleh
musuh-musuh mereka.
Perumpamaan kehidupan yang
tidak dibajai oleh ajaran tauhid seperti tumbuh-tumbuhan tidak menerima air,
hujan atau embun. Ia akan musnah kerana kehidupannya tidak dilengkapi oleh
unsur-unsur pertumbuhan yang baik. Pertumbuhan dan arah pucuknya akan
terpesong, melelong, membengkok ke sana sini. Akhirnya batangnya melingkuk,
dahannya bercabang; menegak, menyenget, melintang dan melemahkan daya
ketahanannya. Pokok tumpang mulai menapak, mengukuhkan perumahnya dan
mereputkan sendi-sendi pokok asal. Kematian dan kereputannya tidak dipedulikan
oleh makhluk kecuali melalui pengawasan tuannya.
Demikaian juga pesakit
barah, tuan atau puan punya diri tidak menyedari bahawa terdapat
simptom-simpton penyakit sedang bertapak di badannya. Ia tidak melakukan
pengawasan, merawatnya dengan segera, membiarkannya kerana tiada gejala-gejala
dan tanda-tanda yang memudharatkan, tiada tindakbalas negatif, maka kelalaian
telah bertapak dibenaknya. Akhirnya,
bila barah tersebut berada pada tahap yang parah-kritikal dan sukar
dirawat baharulah ia sedar betapa pentingnya kesihatan. Betapa pentingnya
langkah-langkah pengawasan awal dan perubatan susulan supaya penyakit tersebut
dapat dipantau oleh pakar. Di samping itu penyaki-penyakit sampingan juga dapat
dikesan lebih awal jika tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.
Allah memberi kita akal
geliga, mata hati yang terang, tubuh badan sihat, lidah yang fasih dan tingkah
laku yang baik sepatutnya digunakan memikir tentang kejadian-kejadian ciptaan
Allah s.w.t., melihat dan memerhati alam sebagai tanda-tanda kebenaran dan
kebesaran Allah s.w.t. dengan keyakinan jelas tepat, benar bahawa manusia
dilahirkan di dunia ini bukan sia-sia. Mereka mempunyai wawasan yang jelas,
misi dan visi yang tepat dan halangan-halangan yang mendatang mudah di atasi
kerana mereka wujud bukan untuk makan dan berseronok semata-mata tetapi
berusaha mengenali pencipta alam ini terutamanya kejadiaan diri kita sendiri.
Beruntunglah manusia yang memahami kejadiannya. ALLAHU aKHBAR.
Salam Muharam 1435H/2014M
No comments:
Post a Comment